'Anti klimaks' Sabtu , 22 Januari 2011
Lin Dan tarik diri; Pertembungan impian jaguh Olimpik lawan Chong Wei tak jadi
LEE Chong Wei akur terkejut dengan keputusan juara dunia, Lin Dan menarik diri, semalam tetapi jaguh perseorangan negara tetap tidak memandang mudah cabaran seorang lagi wakil Tembok Besar China, Chen Long yang bakal ditentang pada separuh akhir Terbuka Malaysia, hari ini.
"Saya terkejut," katanya sejurus mengesahkan kemaraan ke separuh akhir - sekali gus menyalakan impian memburu kejuaraan ketujuh dengan menundukkan pemain Vietnam, Nguyen Tien Minh 21-15, 21-16 dalam saingan suku akhir selama 40 minit, malam tadi.
"Semua orang menunggu perlawanan ini (Chong Wei menentang Lin Dan) tetapi saya tidak boleh buat apa-apa. Begitupun, saya tidak memandang mudah cabaran Chen Long kerana dia seorang pemain agresif," katanya.
Berdasarkan rekod pertemuan, kedua-dua pemain terikat 1-1 selepas Chong Wei menebus kekalahan kepada pilihan ketiga itu di final Grand Prix Emas Malaysia, Jun lalu selepas tunduk pada Terbuka India, tiga bulan sebelum itu.
Apapun, Chong Wei juga sependapat dengan pemenang emas Sukan Olimpik Athens 2004, Taufik Hidayat yang meminta Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengambil tindakan ke atas pemain yang menarik diri tanpa alasan kukuh.
"BWF kena buat keputusan tetapi bagi saya ini sukan, kadang-kadang ada orang marah (terhadap tindakan yang diambil pemain). Lagipun, kita tidak tahu apa strategi sebenar China," katanya