Pienaar makin teruja
PEMAIN baru Tottenham Hotspur, Steven Pienaar yakin dia memiliki kekuatan mental yang mencukupi untuk bertarung merebut tempat dalam kesebelasan utama dan percaya Spurs mampu untuk memenangi sekurang-kurangnya satu trofi kejuaraan musim ini.
Pemain tengah Afrika Selatan berusia 28 tahun itu melengkapkan perpindahan ke White Hart Lane Selasa lalu, menandatangani kontrak empat setengah tahun dengan kelab utara London itu untuk me�ninggalkan Everton dengan bayaran yang dipercayai antara �2.5 juta (RM12 juta) dan �3 juta (RM14.6 juta).
Pienaar sedar dia perlu berusaha untuk cuba mendapat tempat utama di kalangan pemain tengah Tottenham yang berbakat namun ghairah berdepan cabaran menjelang kunjungan ke Newcastle Uni�ted bagi perlawanan Liga Perdana Inggeris hari ini.
“Saya gembira untuk berada di sini. Bagi saya secara peribadi, saya mahu memastikan saya bekerja keras dan bertarung untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama. Saya tahu ia tidak mudah tapi saya ada kekuatan mental untuk melakukannya.
“Bagi pasukan pula, kami tidak begitu jauh daripada tangga pertama Liga Perdana jadi saya fikir kami ada peluang untuk melakukan yang terbaik dan memenangi satu trofi musim ini.
“Apabila anda lihat cara pasukan ini bermain, mereka memang pencabar serius bagi merebut piala, manakala persembahan menakjubkan dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah membuatkan ramai� orang mengubah tanggapan mereka terhadap Spurs.
“Saya harap dapat ba�nyak membantu, tidak kira tenaga, kreativiti dan sudah tentu bekerja keras buat pasukan. Saya sering memberikan keutamaan kepada pasukan berbanding diri sendiri dan saya fikir ia amat penting bagi seseorang pemain.
“Sudah tentu, sebagai pemain, anda mahu beraksi buat pasukan yang bagus dan mencabar diri anda dan itulah yang saya sering cuba lakukan sebagai individu.”
Perpindahan itu menyaksikan dia berganding semula dengan bekas rakan sepasukan di Ajax Amsterdam, Rafael van der Vaart dan rakan senegaranya, Bongani Khumalo, pertahanan berusia 24 tahun yang berpindah dari Supersport United bulan ini.
Pienaar memilih Tottenham dan bukannya penyandang juara Chelsea selepas Everton menerima bidaan daripada dua kelab London itu dan mendakwa ia satu keputusan yang mudah.
“Saya sudah bermain beberapa kali menentang Spurs dan saya tahu kelab ini ada ramai pengikut di Afrika Selatan, jadi buat saya, berdasarkan hakikat itu, ia adalah satu pilihan yang mudah untuk dilakukan,” katanya.
“Gaya bola sepak amat penting. Saya bermain de�ngan Rafa [van der Vaart] di Ajax dan kami bermain corak menyerang dan saya mahu berada dalam pasukan yang mengamalkan corak menyerang dan menarik untuk ditonton oleh penyokong dan peminat.
“Bongani adalah seorang pemain muda, seorang pemain bola sepak yang bijak dan saya fikir tidak lama lagi dia akan berkembang dan menjadi seorang pemain pertahanan tengah yang bagus, harapnya sebagus Lucas Radebe sebelum ini.
“Setiap orang di Afrika Selatan dan saya secara peribadi menjangkakan dia akan menjadi ketua pasukan kebangsaan pada masa depan jadi harapnya semuanya menjadi seperti dirancang.”
PROFIL
NAMA PENUH: Steven Jerome Pienaar
TARIKH LAHIR: 17 Mac 1982
TEMPAT LAHIR: Johannesburg, Afrika Selatan
TINGGI: 1.70 meter
POSISI: Sayap, pemain tengah
KELAB SEMASA: Tottenham Hotspur
KARIER REMAJA:
# Westbury Arsenal
# Ajax Cape Town
KARIER SENIOR:
# 1999-2001 Ajax Cape Town
# 2001-2006 Ajax Amsterdam
# 2006-2008 Borussia Dortmund
# 2007-2011 Everton
# 2011-kini Tottenham Hotspur
PASUKAN KEBANGSAAN:
# 2002-kini Afrika Selatan (57 perlawanan, 2 gol)