DIKENALI sebagai pasangan pelakon yang sedang hangat menjalin hubungan cinta, tetapi nama Kamal Adli dan Intan Ladyana juga semakin bertapak kukuh dalam bidang lakonan dengan rezeki tawaran berlakon yang mencurah-curah.
Bagaimanapun, apabila membicarakan soal perkahwinan, Kamal merasakan buat masa ini belum tiba masanya untuk dia memikirkan perkara berkenaan meskipun mengakui sangat mencintai kekasihnya itu.
Ujarnya, menggalas tanggungjawab sebagai seorang suami sangat besar dan dia hanya akan mendirikan rumah tangga sekiranya merasakan sudah benar-benar bersedia untuk menempuh alam perkahwinan.
"Hubungan kami selama ini cukup baik dan saya gembira memiliki seorang kekasih yang begitu memahami. Sepanjang perhubungan kami, Intan sendiri tidak pernah membangkitkan soal kahwin.
"Lagipun saya lihat sekarang dia begitu mencintai dunia lakonan dan namanya semakin menjadi sebutan. Jadi saya tidak mahu memberikan sebarang tekanan kepadanya termasuk mengenai perkahwinan," ujarnya.
Tambah Kamal, apa yang lebih penting buat dirinya ketika ini adalah mahu memberi sepenuh tumpuan kepada kerjayanya dan menerima seberapa banyak tawaran yang diperoleh.
Menurutnya, inilah saat dan peluang untuk dirinya mengumpul seberapa banyak harta dan menyimpan wang sebelum menempuh alam perkahwinan dan menggalas tanggungjawab sebagai suami.
"Tidak bermakna harta dan wang ringgit adalah jaminan kebahagiaan sesebuah perkahwinan, tetapi itu adalah suatu yang menjadi keperluan hidup untuk memelihara anak orang.
"Disebabkan itu saya ingin mengukuhkan kedudukan kewangan terlebih dahulu dan memiliki aset seperti rumah. Sudah tentu saya mahukan kehidupan sebuah kehidupan yang selesa selepas berumah tangga nanti," ujarnya.
AKSI terbaru Kamal dapat disaksikan menerusi drama Gemilang yang kini sedang bersiaran setiap Isnin di TV3.
Menurutnya, dia dan Intan juga tidak akan menyorokkan tentang hubungan mereka dan berjanji akan memberitahu kepada peminat sekiranya masing-masing sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga.
Tak pernah jumpa keluarga
Biarpun sudah lama menjalinkan hubungan cinta, Kamal mengakui sehingga kini mereka masih lagi belum berkesempatan untuk berjumpa dengan ahli keluarga masing-masing disebabkan sibuk dengan jadual lakonan yang padat.
Bagaimanapun, pelakon tersebut memberitahu dia akan berjumpa keluarga Intan sekiranya dia benar-benar sudah bersedia dan mempunyai masa terluang untuk membincangkan mengenai hubungannya itu dengan lebih lanjut.
"Kami sendiri tidak kisah kerana mereka faham dengan kami berdua. Apa yang lebih penting ahli keluarga sudah pun tahu mengenai perhubungan ini dan mereka juga telah memberi restu kepada kami.
"Cuma mereka meminta supaya kami menjaga nama baik keluarga dan tidak melakukan sesuatu perkara yang boleh memalu dan mencemarkan nama baik mereka," ujarnya.
Menurut Kamal lagi, dia sangat bersyukur kerana keluarganya turut memberi kepercayaan kepadanya dan tidak pernah mendesaknya supaya cepat berumah tangga.
Ikut jejak kekasih
Jika sebelum ini semakin ramai artis tempatan yang telah mengambil keputusan untuk bernaung di bawah syarikat MIG Production, ternyata Kamal juga turut melakukan tindakan yang sama.
Menurut pelakon yang mula popular menerusi drama Bio-Nik itu, tujuannya mengikat kontrak dengan syarikat berkenaan kerana mahu memastikan jadual kerjanya menjadi lebih tersusun.
"Saya sudah mengikat kontrak dengan MIG Production sejak dua bulan yang lalu. Memang diakui kini perjalanan karier seni saya semakin teratur dan saya gembira dengan keadaan sekarang.
KHABIR BHATIA (duduk dua dari kiri) bersama barisan pelakon drama bersiri Gemilang.
"Walaupun kini telah menjadi artis di bawah naungan mereka, namun saya masih lagi diberi kebebasan untuk menerima tawaran berlakon daripada produksi luar," ujarnya.
Tambah Kamal, dengan adanya pihak yang dapat menguruskan perjalanan kariernya sekarang, ia juga sedikit sebanyak mampu mengatasi masalah yang sering dialaminya selama ini.
Ujarnya, sebelum ini dia sering menghadapi dilema untuk meletakkan harga bagi sesuatu tawaran berlakon yang diterimanya. Sehinggakan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan menawarkan harga yang sangat rendah kepadanya.
"Sebenarnya saya sendiri akui adakalanya mengalami kesukaran untuk menentukan harga yang sesuai. Pernah juga saya terus bersetuju menerima tawaran yang diberikan biarpun akhirnya menyedari jumlah yang diterima sangat sedikit.
"Jadi dengan adanya pihak yang dapat menguruskan kerjaya saya, tidak ada lagi pihak yang boleh mengambil kesempatan ke atas diri saya dengan menawarkan harga yang tidak berbaloi," ujarnya.
Bagaimanapun, Kamal menegaskan tindakannya menjadi artis MIG tidak ada kena mengena dengan pengaruh atau cadangan Intan yang terlebih dahulu mengikat kontrak dengan syarikat tersebut.
Sebaliknya, keputusan dibuat setelah memikirkan tentang kebaikan dan keuntungan yang akan diperolehinya pada masa akan datang.