BIARPUN sangat terkenal sebagai seorang bintang bola sepak, namun pemain asal England, David Beckham tidak kisah sekiranya ketiga-tiga anaknya tidak mengikut jejak langkahnya.
Baru-baru ini dikhabarkan bahawa David telah mula mendedahkan anaknya iaitu Brooklyn, Romeo dan Cruz kepada dunia tarian. Menariknya, penyanyi Usher telah dilatih untuk menjadi guru tari kepada anak-anaknya itu.
"David adalah salah seorang teman baik saya. Beberapa bulan yang lalu kami berdua sempat berjumpa dan dia meluahkan hasrat untuk melihat anak-anaknya belajar menari.
"Dia mahu saya menjadi guru peribadi anak-anaknya itu dan saya terus bersetuju. Dia mempunyai sebuah keluarga yang bahagia dan sebab itu saya menerima tawarannya," ujar Usher.
Di antara ketiga-tiga anak pemain bola sepak tersebut, Usher memberitahu, ternyata Cruz yang paling menyerlah bakatnya dalam bidang tarian. Sewaktu siri jelajah dunia Spice Girls, Victoria pernah mengajak anaknya itu yang ketika itu berusia tiga tahun menari bersama-sama di atas pentas.