yie Game Master
Posts : 71 Join date : 21/01/2011
| Subject: Minuman Berkarbonat Jejaskan Kesihatan Sat Feb 05, 2011 3:43 am | |
| Minuman Berkarbonat Jejaskan Kesihatan
Minuman berkarbonat memang popular dalam kalangan masyarakat. Tidak kira musim, minuman menjadi hidangan terutamanya apabila berkunjung ke premis makanan segera. Datang dengan pelbagai jenama minuman berkarbonat menjadi hidangan apatah lagi pada musim perayaan.
Biar apa jenamanya, secara umum, kandungan minuman berkarbonat adalah sama banyak gula.
Selalunya soal kesihatan dan aspek pemakanan sering dipinggirkan seketika pada musim perayaan. Walaupun tahu minuman berkarbonat tinggi kandungan gulanya, kebanyakan kita menghidangkannya kepada keluarga mahupun tetamu tanpa rasa bersalah.
Tarikan iklan yang menceritakan 'keasyikan' menikmati minuman ringan dan berkarbonat memang sukar dilawan.
Malah, lebih membimbangkan, minuman berkarbonat juga menjadi antara daya penarik utama di kantin sekolah, termasuk sekolah rendah.
Sedar atau tidak, kanak-kanak akan menjadi mangsa kerana kealpaan kita. Kanak-kanak antara golongan paling suka minum minuman berkarbonat hingga kadangkala ada yang langsung menolak apabila diberikan air kosong. Jika minum pun hanya seteguk dua, itupun selepas dipaksa.
Kajian mendapati, pengambilan minuman ringan dan berkarbonat yang berlebihan akan menyumbang kepada masalah kesihatan, terutama berlebihan berat badan dan obesiti.
Minuman berkarbonat sebenarnya tidak mengandungi zat, tetapi banyak kalori yang datang daripada gula. Banyak bukti saintifik menunjukkan ia ada kaitan langsung dengan pertambahan berat badan.
Masalah pertambahan berat badan ini menjadi satu faktor risiko kepada penyakit kencing manis di kalangan orang dewasa muda. Pertambahan berat badan ini adalah proses yang sentiasa berlaku sebagaimana peningkatan usia. Gabungan dua faktor ini juga mendedahkan seseorang kepada risiko serangan jantung dan strok. Obesiti membimbangkan Masalah obesiti di kalangan kanak-kanak kini mencecah tahap membimbangkan. Kanak-kanak yang minum satu tin minuman berkarbonat (325 mililiter) setiap hari mempunyai lebih kurang 10 peratus tenaga berbanding kanak-kanak lain. Tenaga ini (yang datang daripada gula), jika tidak digunakan, akan disimpan dalam badan sebagai lemak.
Kajian yang disiarkan dalam jurnal General Dentistry mendapati, tabiat minum minuman berkarbonat boleh meningkatkan masalah kerosakan dan pereputan gigi.
Pakar Pemakanan Institut Jantung Negara (IJN), Ho Shiau Fen, mengakui hakikat ini.
Bukan gula saja yang menjadi faktor menyebabkan kerosakan gigi, tetapi kandungan asid dalam minuman berkarbonat boleh melemah serta mengikis lapisan enamel (lapisan luar) pada gigi. Ini mempercepatkan proses pereputan gigi.
"Mengikut saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pengambilan gula tidak boleh melebihi 10 peratus daripada keperluan kalori seseorang. Sebagai contohnya, jika keperluan kalori seseorang itu adalah 2000 kalori, jumlah gula yang boleh diambil adalah kurang daripada 200 kalori, iaitu kira-kira 10 sudu teh gula.
Jumlah ini termasuk gula tersembunyi. Ini adalah jumlah yang diperoleh daripada setiap makanan kita, sama ada dalam teh, kopi atau makanan yang bergula ketika bersarapan, makanan sarapan, makanan tengah hari, sajian minum petang dan makan malam.
"Satu tin minuman berkarbonat mengandungi antara enam hingga 10 sudu teh gula. Ini bermakna, jika kita minum satu tin minuman berkarbonat, kita sudah mencapai sukatan gula daripada yang disarankan.
"Masalah pengambilan gula yang terlalu banyak biasa berlaku pada musim perayaan. Boleh dikatakan setiap rumah menghidangkan minuman berkarbonat. Itu belum mengambil kira kandungan gula dalam kek, biskut atau hidangan lain," katanya.
Ramai orang menganggap tidak mengapa untuk minum satu tin minuman berkarbonat, asalkan ia diiringi beberapa gelas air kosong. Mereka percaya air kosong akan 'mencairkan' kepekatan minuman berkarbonat.
Hakikatnya, anggapan ini salah dan perlu diperbetulkan segera. Tidak kira berapa banyak air kosong diminum, kandungan gula daripada minuman berkarbonat yang masuk ke dalam badan tetap sama. Tetap melebihi tahap keperluan harian kita. Masalah ini bertambah buruk dengan pengambilan makanan manis seperti kek dan biskut hari raya.
Untuk mengurangkan kuantiti gula diambil, kurangkan pengambilan minuman berkarbonat adalah cara paling praktikal.
Ini boleh dibancuh atau dicampur dengan air kosong dan dikongsi minum beramai-ramai. Bagaimanapun, jika air dibancuh dihabiskan sendirian, kandungan gula yang masuk ke badan tetap sama, iaitu antara enam hingga 10 sudu teh.
Di kalangan kanak-kanak pula, terlalu banyak minum minuman berkarbonat menyebabkan mereka kurang minum air kosong atau minuman berkhasiat seperti susu. Selain gula, kebanyakan minuman kola memasukkan kafein sebagai penambah rasa. Kafein adalah 'bahan perangsang' yang membuatkan kita ketagih untuk minum lebih banyak dan kerap.
Banyak kajian mendapati, kafein meningkatkan pengeluaran kalsium daripada tulang, menyebabkan kita terdedah kepada masalah reput tulang atau osteoporosis jika diambil dalam jangka masa panjang.
Justeru, jika dapat, pada musim perayaan ini elak mengambil terlalu banyak minuman berkarbonat, sebaliknya gantikan dengan pilihan lain seperti teh atau jus buah-buahan.
Malangnya, budaya orang kita yang menerima saja minuman dihidang tuan rumah boleh memburukkan keadaan, terutama di kalangan pesakit kencing manis.
Dalam hal ini, Ho menyarankan pesakit berterus terang dengan tuan rumah atau meminta minuman lain (pilihan terbaik adalah air kosong) sebagai pengganti. Malah, sebagai tuan rumah juga, kita mesti prihatin keadaan kesihatan tetamu.
Ibu bapa juga perlu mendidik anak mengenai keburukan meminum terlalu banyak minuman berkarbonat.
Pada masa sama, mereka juga mesti menjadi teladan kepada anak dengan mengamalkan minum banyak air kosong. |
|